Error

Muhasabah Membentuk Peribadi

Print

Apabila kita ditimpa pelbagai musibah dan masalah, tindakan utama dan bijak yang perlu kita lakukan adalah memuhasabah hubungan kita dengan Allah swt. Salah satu bentuk komunikasi perlu00
kita lakukan adalah berdoa.

Hakikatnya doa menuntut kita untuk melakukan perubahan diri. Hidup kita bukanlah sestatik laut mati. Ia sentiasa berubah dari masa ke semasa. Banyak cabaran yang perlu kita hadapi setiap hari. Melalui ujian  inilah, Allah akan melihat siapa hamba-Nya yang benar-benar beriman.

Siapakah hamba-Nya yang bagus kualiti peribadinya? Siapakah  hamba-Nya yang mahu melakukan perubahan?

Dan perubahan inilah yang menjadi esensi dari doa yang kita panjatkan.

Ibnu Ata'illah menukilkan sesuatu yang amat berharga dalam kitabnya

al-Hikam :

"Bagaimana engkau menginginkan sesuatu yang luar biasa padahal engkau sendiri tidak merubah dirimu dari kebiasaanmu? Kita banyak meminta dan banyak berharap kepada Allah swt, tetapi kerana sibuk meminta terkadang membuat kita tidak sempat menilai diri sendiri. Padahal kalau kita meminta dan akibatnya kita merubah diri sendiri, Allah akan memberikan apa yang kita minta kerana sebenarnya doa itu adalah pengiring agar kita dapat merubah diri kita. Jika kita tidak pernah mahu merubah diri kita menjadi lebih baik, tentu ada yang salah dengan permintaan kita."

Berdoa berjuta sekalipun, kalau kita tidak melakukan perubahan diri, ianya tidak akan berubah kerana sememangnya itulah ketetapan-Nya. Kekuatan seseorang untuk merubah dirinya  menjadi salah satu faktor yang menentukan kejayaan seseorang. Jika hidup selalu ditimpa musibah, hutang tidak pernah terlangsaikan, pelajaran pun tidak dapat diikuti dengan baik, jelas itu menunjukkan ada yang tidak kena dengan diri kita.

Adakah semua ini kerana Allah tidak memakbulkan doa kita?   Cuba  muhasabah diri. Tinggalkan kebiasaan-kebiasaan buruk yang selama ini sebati dengan diri kita. Tingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kita. Jika dulu kita orang yang panas baran, cubalah perbaiki sifat ini dengan mengingat-ingat akibat yang akan berlaku jika kita selalu marah kepada orang lain hatta masalah sekecil manapun.

Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga dia sendiri yang merubahnya"

Allah sendiri telah menjamin akan mengabulkan doa setiap hamba-Nya sebagaimana termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud :

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

Perlu diingat juga,Allah memberikan kita apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu dan Allah telah menerangkannya dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 216 bahawa boleh jadi kita menyukai sesuatu sedangkan ia bukan sesuatu yang baik buat kita dan boleh jadi sesuatu yang kita tidak sukai itu jauh lebih baik buat kita.

Oleh itu muhasabahlah. Lihatlah kekurangan yang ada pada diri kita. Jika kita inginkan kejayaan dalam peperiksaan, tapi tidak meningkatkan usaha dalam mengulang kaji pelajaran, jangan salahkan sesiapapun jika kelak kejayaan tidak dapat dicapai.