Home
Ustaz Kazim Elias Al Hafiz di SRI Al Hafidz
Written by Rita Radin  
Monday, 10 October 2011 21:27

 

bannerkazim_-_Copy


Ketibaan Al Fadhil Ustaz Kazim Elias Al Hafiz di Sabah sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua. Beliau merupakan seorang penceramah bebas yang sangat diminati ramai sebaris dengan artis popular masa kini. Sudah tentu sambutan yang begitu baik oleh masyarakat kerana penyampaiannya yang santai, mudah dan sedikit lawak jenaka yang menghiburkan pendengarnya.

 

Alhamdulillah, selepas beberapa kali mengatur jadual dengan pihak Ustaz Kazim Elias akhirnya pihak Lembaga Pengarah dapat membawa beliau ke SRI Al Hafidz dan mengadakan program Sejenak Bersama Ustaz Kazim Elias. Kami di SRI Al Hafidz begitu berbesar hati menerima kunjungan beliau bak kata pepatah 'kecil tapak tangan, gunung kinabalu kami tadahkan'.

 

Sedikit latar belakang mengenai Ustaz Kazim Elias iaitu, beliau merupakan pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah yang terletak di Manjoi Perak. Sekolah yang diasaskan beliau walaupun bermula dengan serba kekurangan, namun dengan keazaman dan kesabaran yang padu kini Pusat Pendidikan Al Barakah menjadi sebuah pusat pendidikan yang berkembang dengan begitu baik. Maklumat berkenaan pusat pendidikan ini boleh di lawati di www.albarakah.org.

 

Kehadiran ibu bapa pada program ini memberikan satu petunjuk bahawa masyarakat di Sabah dan di sekitar Sepanggar khususnya sudah terbuka mindanya untuk memberikan sokongan dan dokongan kepada program-program dan majlis-majlis ilmu. Walaupun ruang dewan SRI Al Hafidz agak sesak dengan kehadiran ibu-bapa yang memberangsangkan tapi tidak mengalang mereka untuk terus bersama hingga ke akhir program bersama Ustaz Kazim Elias.

 

Antara perkara yang sangat ditekankan oleh Ustaz Kazim ketika ceramah beliau iaitu peranan kedua-dua pihak antara guru dan ibu-bapa dalam memastikan proses mendidik anak-anak generasi Al Quran mestilah sentiasa dalam keadaan yang terbaik.Katanya, jika pusat pendidikan yang diasaskan oleh beliau berkembang dengan baik sehingga ke tahap yang ada sekarang ini, ia bermula dengan keikhlasan ibu-bapa membantu pihak guru-guru dan begitu juga sebaliknya.

 

Beliau juga menolak sekeras-kerasnya jika ada ibu-bapa yang membuat tanggapan bahawa anak-anak yang menghafal quran tidak ada masa depan kerana susah hendak bersaing di pasaran pekerjaan. Beliau memberikan beberapa fakta yang menunjukkan bahawa apa yang dikatakan oleh Al Quran iaitu Allah akan menjamin rezeki sesiapa yang menghafal Al Quran di dalam dada mereka. Sebaliknya kata beliau, anak-anak yang menghafal Al Quran bukan sahaja lahir sebagai manusia yang berjaya didunia malah di akhirat sana nanti.

 

Ternyata, suntikan semangat yang diberikan oleh Ustaz Kazim Elias memberikan satu keinginan dan kemahuan yang jelas terpancar untuk melakukan yang terbaik demi melahirkan generasi yang cintakan Al Quran di wajah para hadirin. Pertemuan dengan Ustaz Kazim sememangnya satu pertemuan yang begitu bermakna bagi pihak SRI dan ibu-bapa yang masih diperingkat permulaan mengurus dan mengendalikan sekolah 3 aliran yang pertama di Sabah.

 

 

kompang

Pasukan Kompang bersedia menyambut Ustaz Muhd Kazim Elias Al Hafidz

 

 

ustkazimlembaga

Ustaz Kazim disambut oleh Ahli Lembaga Pengarah

 

 

hadirin

Ibu-bapa yang hadir

 

 

ustkzaimterang

Ustaz Kazim sedang menyampaikan ceramah

 

gambarsemua

Gambar kenangan bersama Ahli Lembaga dan tenaga pendidik SRI Al Hafidz

 


Last Updated on Sunday, 16 October 2011 12:25